Produk mandian Upin, Ipin


LENY Herlina (tengah) bersama Pengarah Pemasaran dan Komunikasi, Jaszmyn Leong Mei-Wunn (kanan) dan Pengarah Jualan dan Perkhidmatan, Joey Lim menunjukkan produk Upin dan Ipin keluaran syarikat Wonderland Primary.LENY Herlina (tengah) bersama Pengarah Pemasaran dan Komunikasi, Jaszmyn Leong Mei-Wunn (kanan) dan Pengarah Jualan dan Perkhidmatan, Joey Lim menunjukkan produk Upin dan Ipin keluaran syarikat Wonderland Primary.


KARAKTER kartun animasi komputer 3D, Upin dan Ipin bukan sahaja merupakan siri kartun kegemaran kanak-kanak hari ini malah dialog Betul! Betul! Betul! turut menjadi ikutan.
Upin dan Ipin menjadi popular kerana lagak mereka yang melucukan dan comel.
Bagi peminat-peminat Upin dan Ipin, kini mereka boleh menambah koleksi peribadi yang berlatar belakangkan watak popular itu dengan mendapatkan produk terbarunya iaitu koleksi penjagaan diri.
Dikeluarkan oleh Wonderland Primary Sdn. Bhd. (Wonderland Primary), buat permulaan mereka telah memperkenalkan empat jenis produk iaitu syampu, krim mandian, losen badan dan pembersihan diri daripada hujung kaki hingga ke kepala.
Selain diperkaya dengan daun lidah buaya serta vitamin E, produk-produk tersebut pastinya memikat hati anak-anak anda kerana ia diperhebatkan lagi dengan bau-bauan seperti buah-buahan dan gula-gula candi.
Bukan itu sahaja malah kombinasi daun lidah buaya serta vitamin E mampu melembapkan kulit dan merapikan rambut anak-anak anda.
Apa yang menariknya mengenai produk penjagaan diri Upin dan Ipin ini, ia bukan sahaja diperbuat khas untuk kegunaan kanak-kanak malah ia juga merupakan satu produk penjagaan diri untuk seisi keluarga.
Menurut Pengurus Pembangunan Perniagaan Wonderland Primary, Leny Herlina, untuk pengeluaran produk-produk tersebut, pihaknya telah menandatangani perjanjian dengan Les' Copaque Productions Sdn. Bhd. bagi mendapatkan hak kebenaran menggunakan watak kartun itu dalam semua produk keluarannya.
''Melalui perjanjian itu, kami dibenarkan untuk mengeluarkan 12 jenis produk lagi dan antaranya minyak bayi dan cucian tangan.
''Ia akan dikeluarkan dalam masa terdekat tetapi secara berperingkat-peringkat.
''Setakat ini kami menerima sambutan menggalakkan daripada peminat kartun tersebut bukan sahaja di kalangan kanak-kanak tetapi juga ibu bapa malah kami tidak hanya mensasarkan kepada pengguna-pengguna Melayu tetapi ia untuk semua kaum,'' katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambah beliau lagi, antara lain keunikan produk keluaran syarikatnya itu ialah ia bebas daripada SLES atau SLS dan PARABEN yang mana ia boleh mengakibatkan kegatalan pada kulit dan mata.
Ujarnya, bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan produk-produk tersebut telah dibuat kajian dan telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan.
Formulasi yang digunakan juga sesuai dan selamat digunakan oleh kanak-kanak.
Selain itu, untuk menjadikan produk tersebut lebih menarik untuk dimiliki, setiap pembungkusan yang dilakukan telah direka khas yang tertera maklumat-maklumat mengenai kegunaan masing-masing.