Buat kaum Hawa,
Yakin dan percayalah pada insan yang telah ditunjukkan Allah dalam istikharahmu walauapapun keadaannya pada masa ini, asalkan baik agamanya. Sama ada dia masih belajar atau masih bertukar-tukar kerja, percayalah padanya.
Buat Syabab,
Rezeki Allah amat luas, jangan dirisaukan sangat. Walaupun sesuatu pekerjaan itu tidak terpandang di sisi masyarakat contohnya bekerja sendiri namun terakam mulia dalam hadis Rasulullah s.a.w.
Beliau bersabda:
"Pekerjaan yang terbaik adalah usaha seseorang dengan tangannya sendiri dan semua penjual beli yang baik." - Riwayat Ahmad, Baihaqi dan lain-lain
Jika kerisauan untuk menikah disebabkan faktor orang tua, berbincanglah dengan mereka penuh hikmah.
Hati mereka milik Allah, dipegang Allah dan boleh dilunakkan oleh Allah dalam sekelip mata.
Ianya menuntut doa, kesungguhan dan keberanian.
Orang tua akan cair jua dengan kebaikan kerana merekalah insan yang paling inginkan kebaikan untuk seorang anak, Percayalah!
Jika terubat segala kerisauan dan tertanam kukuh sebuah keyakinan maka laksanakanlah khitbah (pertunangan).
Selama tempoh khitbah, berkongsilah apa yang dirasakan mustahak dan tidak terlalu kerap berhubung untuk menjaga kesucian ikatan.
Tempoh itu sesungguhnya amat menguji. Pastikan ikatan itu terjaga dari kelalaian dan segala perbuatan yang menghampiri zina.
Laksanakanlah ikatan dengan mana paling memudahkan lelaki. Aisyah r.a menjelaskan:-
"Sesungguhnya di antara keberkatan wanita ialah memudahkan peminangan dan kemudahan maharnya". - Riwayat Ahmad
Oh, kaum Hawa!
Tidakkah kamu mahu menjadi wanita yang berkat? Oh, mudah kahwin itu rupanya jika ikut agama!
Apa tunggu lagi wahai yang dah berpunya? Pilihlah untuk berkahwin.
Takutlah pada Allah melebihi takutmu pada segala persoalan di benakmu.
Yakinlah pada Allah. Berdoalah padaNya agar dipermudahkan nikah buatmu.
"Wahai para pemuda, siapa yang mampu, berkahwinlah! Sesungguhnya ia menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Siapa yang tidak mampu berpuasalah." - Riwayat Bukhari